Thursday, March 4, 2010

Re-visiting my love for Malay poetry

Muntah

Dongeng yang indah
Tersepit terselit di celah-celah
Berbaris-baris ayat Mahadewa
Mencerna biasan gurindam semalam
Yang bertakung membuka pekung
Berpukat-pukat menabung cerita
Membuak-buak lahar derita

Siti Zalinah
Woodlands, Singapura
Khamis, 19 Mac 2009, 1:21 petang



butapekakbisu

kalauyangbutadapatmelihat
tentusekalidiainginmelihatmatahari
kilauanmembongkarsilam
yangmenerangikelamsuram

kalauyangpekakdapatmendengar
tentusekalidiainginmendengarirama
pujipujianmenjunjungarrahman
yangmendendanghalwakealpaan

kalauyangbisudapatberbicara
tentusekalidiainginberbicaracinta
mengagungsaktimerawatjiwa
yangkosongmendedahkecewa

Siti Zalinah
Woodlands, Singapura
Selasa, 2 Disember 2008, 3:38 pagi



Hutang Bicara

Keluh kesah resah
Pendam hati didih
Kisah lapuk dijeruk terperuk
Tangan menadah
Liur diludah
Bangsa berubah
Tanah dijajah
Sejuta datang, sejuta pergi...
PUI!!!

BUKA!!!
Buka hati.
Buka mata.
Buka telinga.
Buka minda.
Buka lubang segala lubang.
Buka deria segala.

Buka mulut jangan lupa!
Biar nganga masuk lalat!
Jangan sampai lidah karat!
Jangan jasad diperalat!

Dongeng apakah ini?

Mati kelar tangan.
Mati jatuh bumbung.
Mati gantung diri.
Mati jual badan.
Mati hisap dadah.
Mati akal.
Mati juang.
Mati impian.
Mati. Mati.
Mati gemuk!

Yang bijak, dipujuk rayu.
Yang bijak, disuap nasi.
Yang bijak, diberi visa.
Yang bijak, diberi biasiswa.
Yang bijak, disuruh berjasa.
Yang bijak, disuruh bekerja sampai habis bon!

Yang bijak sahaja!
Diperah keringatnya
Disedut ilmunya
Diberi liputan meluas
Disayang
Dimanja

Yang bodoh,
Yang bebal,
Yang bengap,
Yang jimbam,
Yang bahalul...

Tangan dalam saku
Mulut jadi bisu
Otak mati kutu
Mati jadi abu
Jasa jadi debu

Sedarlah…
Tiada apa yang percuma.

Walau hitam rambutmu
Walau sepet matamu
Walau kuning kulitmu

Tiada apa yang percuma
Tiada apa yang percuma...

Siti Zalinah
Woodlands, Singapura
Isnin, 9 Mac 2009, 2:56 pagi

No comments:

Post a Comment